AHLI UMNO PERLU BERTERIMA KASIH KEPADA MEREKA YANG MELOMPAT PARTI KERANA MENINGALKAN 5 FAEDAH YANG SANGAT BESAR - LOKMAN ADAM

16hb Disember, 2018

Dakwaan Hamzah Zainuddin bahawa ada 36 orang MP UMNO telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad jika berlaku undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat adalah benar, malah angka sebenar adalah 37 orang ahli dan bekas MP UMNO. Namun apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanya kepada sebahagian Ahli Parlimen terbabit berhubung SD tersebut, mereka menjawab, mereka hanya akan menyokong untuk mengekalkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana mereka tidak mahu Anwar menjadi PM dan mereka tidak sesekali akan keluar parti. Itu apa yang dilafazkan kepada Presiden Parti".

Saya tidak pasti siapa 37 orang ini,  namun saya boleh agak ada sekitar 11 MP Umno yang tidak menandatangani SD tersebut antaranya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Dato Sri Nazri Aziz dan Tengku Razaleigh Hamzah serta beberapa nama lain.

Malangnya, sepertimana yang saya jangkakan, peringkat demi peringkat, mereka menyusun MP yang telah menandatangani SD ini untuk keluar parti dan meletakkan kesalahan ke atas batang tubuh Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid  dan mendesak beliau berundur. Salah seorang pengkhianat utama yang mengusahakan gerakan menarik MP untuk dipersembah kepada Tun M alhamdulillah telah keluar parti semalam, Hamzah Zainuddin.  Cuma yang menyedihkan, sudahlah tidak mempunyai rasa aib meninggalkan parti, ada hati pula beliau ingin mengugut Presiden supaya berundur jika tidak mahu 10 lagi MP UMNO lompat parti.

Kepada pemimpin dayus ini saya ingin berpesan, jangan sesekali kegagalan diri kamu sendiri hendak dipindahkan untuk dipikul oleh Ahmad Zahid.  Yang gagal menjaga isterinya sehingga kononnya digoda Anwar ialah Hamzah, bukan Zahid. Yang menggunakan rakaman perbualan telefon isteri sendiri bersama seorang lelaki yang dikatakan Anwar untuk mendapat habuan dari Daim ialah Hamzah, bukan Zahid.  Dan hari ini, bila Anwar dah hampir-hampir hendak ambil alih sebagai Perdana Menteri, yang gelabah tidak tentu pasal kumpul MP UMNO sokong Mahathir dan atur orang desak Presiden berundur juga adalah Hamzah, bukan Zahid.  Jangan fikir kawan-kawan lama tidak mengikuti perkembangan beliau.

Sehubungan itu, ahli UMNO perlu memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Presiden UMNO yang telah melafaskan ikrar beliau untuk mengukuhkan jedudukan UMNO dan ketegasan beliau bahawa UMNO tidak akan berkerjasama dengan DAP.  Dalam masa yang sama, ahli-ahli UMNO perlu bersedia menghadapi kemungkinan paling buruk, iaitu kesemua 37 individu terbabit, akhirnya akan keluar daripada parti dan MP UMNO mungkin tinggal kurang dari 10 orang. 

Bagi saya, pemergian pemimpin-pemimpin UMNO ini adalah hadiah istimewa bagi akar umbi UMNO.  Mereka yang pergi adalah mereka yang mempunyai masalah dan bimbang akan didakwa oleh regim Mahathir DAP.  Sebaliknya, mereka yang tidak gentar dengan ugutan kerana tahu mereka berada dipihak yang benar, mereka akan tetap menentang Regim Mahathir DAP walaupun berhadapan dengan risiko didakwa.

Perkembangan ini akan bawa 5 faedah besar untuk UMNO :

1. Apabila sebuah parti yang mempunya jumlah ahli teramai, iaitu 3.5 juta orang, tetapi hanya tinggal 10 MP, kita akan kehilangan  "bargaining power".    Tawaran yang kita akan terima daripada pihak yang ingin membentuk kerajaan campuran dengan kita pasti tidak berbaloi untuk kita terima.  Ini bermakna, tiada lagi pemimpin NO akan cuba bentuk kerajaan dari pintu belakang dan mereka semua akan fokus mula melakukan kerja-kerja menguatkan UMNO supaya kita boleh merampas kerajaan daripada Pakatan Harapan bersama PAS dan komponen BN lain.  
2. Umno akan jadi sebuah parti yang bersih dari pemimpin yang bermasalah, rakyat akan lebih yakin dengan UMNO. Segala tuduhan sebagai pemimpin rasuah dan korup akan berpindah kepada PPBM.  Lagi banyak modal untuk kita serang PPBM selepas ini.
3. Kemasukan Pemimpin UMNO Sabah kedalam Bersatu adalah mesej jelas bahawa Tun M akan mengkhianati janji-janji yang beliau lafazkan kepada Dato Sri Shafie terutamanya berhubung MA63, hasil cukai yang perlu dipulangkan kepada Sabah dan persetujuan Bersatu tidak akan masuk Sabah. Pengkhianatan ini pasti akan menyebabkan 8 MP Warisan mungkin akan menarik balik sokongan terhadap Mahathir dan beralih ke Anwar.  Bila rakyat Sabah dikhianat, hampir pasti rakyat Sarawak akan mengambil iktibar dan akan menyebabkan 19 MP Sarawak lebih selesa berkerjasama dengan orang lain asal bukan Tun M.
4. Jika sebelum ini banyak permintaan DAP terpaksa ditunaikan Tun M kerana 42 MP DAP menguasai Perdana Menteri yang hanya mempunyai 13 kerusi itu, adakah anda fikir DAP gembira bila jumlah kerusi PPBM semakin banyak?  Malah DAP sudahpun mengugut untuk keluar Pakatan Harapan dan tidak mustahil, parlimen akan digantung malah mungkin dibubarkan sepertimana diidamkan UMNO dan PAS.
5. Penyertaan tokoh-tokoh UMNO kedalam PPBM juga sudah pasti difahami oleh Anwar dan Rakan-rakan PKR lain.  Ini sudah pasti langkah untuk memadamkan impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.  Tindakan Mahathir ini mungkin akan mengubah sifat penakut Anwar kepada Lawan Tetap Lawan semula!  Senario ini juga akhirnya mungkin membawa kepada pembubaran parlimen.

Itu sebabnya, saya menyeru semua teman-teman UMNO untuk melihat Pengkhianatan Pemimpin UMNO yang lompat parti ini sebagai rahmat dari Allah untuk membantu UMNO kembali ke tampuk pemerintahan bersama PAS. Usah bersedih, yang penting, mulakanlah gerak kerja pilihanraya dari sekarang.

Dato' Lokman Noor Bin Adam
Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Pastikan setiap anak, isteri, jiran, sahabat dan saudara-mara kita mendapat maklumat sahih terus dengan klik join di https://telegram.me/lokmanadam